Pages

Tuesday, 17 November 2015

PERUNTUKAN UNTUK SEKTOR PELANCONGAN DITAMBAH

AHLI Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning, Datuk Samsuddin Abu Hassan ketika membahaskan Bajet Perak 2016 dalam Persidangan DUN negeri di Ipoh, Perak, semalam

IPOH 17 Nov. – Kerajaan negeri menambah peruntukan sektor pelancongan sebanyak RM1.5 juta bagi tahun 2016, menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM10 juta bertujuan menaik taraf serta menyelenggara lokasi-lokasi menarik selain pelbagai program untuk menarik pengunjung ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sektor pelancongan telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, dengan pe­ningkatan jumlah pelancong dari dalam serta luar negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, dengan pencapaian memberangsangkan tersebut, kerajaan negeri merancang untuk melaksanakan Tahun Melawat Perak pada tahun 2017 bertujuan mengekalkan pelancong berulang dan pada masa sama mempertingkatkan bilangan pengunjung baharu.

“Selaras dengan itu, kami menetapkan sasaran 400,000 pelancong antarabangsa setahun dan kenaikan 10 peratus bagi tahun-tahun berikutnya, dengan tumpuan kepada pasaran Asia dari Singapura, Jepun dan China. Pelancong Eropah serta Arab juga diberi tumpuan bagi segmen pelancongan berteraskan taman tema.

“Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM3 juta bagi membiayai program pelancongan sukan dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Bagi menzahirkan hasrat tersebut, Pelan Strategi Pelancongan Negeri sedang dirangka dan akan dilaksana mulai tahun depan,” katanya.

Zambry berkata demikian ketika membentangkan Bajet Negeri 2016 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam pada itu, selaras dengan usaha merancakkan lagi sektor pelancongan, Zambry memberitahu, kerajaan negeri terus komited dengan cadangan pembangunan Geopark Lembah Kinta.

Katanya, Jabatan Mineral dan Geosains ditugaskan untuk melaksanakan kajian serta penyelidikan terperinci berkaitan maklumat geologi, flora, fauna, warisan sejarah serta budaya di kawasan berkenaan.

“Kerja-kerja diteruskan pada tahun 2016 sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Penilai Geo­park Kebangsaan. Untuk tujuan pembangunan Geopark Lembah Kinta itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta,” jelas beliau.



No comments:

Post a Comment

Dewan Bandaran Ipoh Gunung Lang Limau Tambun Lukisan Prasejarah Air Terjun Sg. Chelik Gua Kanthan