Pages

Thursday, 6 July 2017

STATUS GEOPARK PERLU PENGLIBATAN KOMUNITI



Pengarah JMG Malaysia Perak(hadapan tiga dari kiri) bergambar bersama-sama penilai dan pemerhati Geopark Lembah Kinta di hadapan Muzium Geologi
IPOH: Semua pihak dan komuniti diminta memberi kerjasama untuk merealisasikan hasrat membolehkan Geopark Lembah Kinta diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan dan seterusnya diangkat sebagai Geopark UNESCO Global.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Perak, Mohd Sidi Daud berkata, geopark sebenarnya bukan milik mana-mana pihak atau individu, sebaliknya menjadi milik semua pihak.Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Geopark Lembah Kinta berharap segala konflik dapat diselesaikan sekiranya mana-mana komuniti mahu kawasan yang berpotensi, dimasukkan ke dalam geopark.

“Selain daripada geotapak yang telah dikenalpasti, kita boleh tambah lagi tapak-tapak yang sesuai kerana proses ini akan berterusan, tidak terhenti apabila kita telah mendapat status Geopark Kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat penilaian calon Geopark Kebangsaan Lembah Kinta di pejabatnya di sini pada Khamis.

Hadir sama panel penasihat pakar Jawatankuasa Kerja Geopark Lembah Kinta yang juga panel pakar UNESCO Global Geopark, Prof Dr. Mohd Shafeea Leman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mohd Sidi memberitahu, jawatankuasa penilaian itu akan melakukan lawatan tapak selama tiga hari sehingga Sabtu ini, sebelum membuat laporan untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau menambah, jawatankuasa berkenaan dijangka mengadakan mesyuarat pertengahan bulan ini bagi meneliti laporan yang diterima, seterusnya membuat keputusan mengenainya.

“Sekiranya jawatankuasa itu mengesahkan Geopark Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan, kita akan membuat persiapan lanjut bagi membuat pengistiharan yang dijangka selewat-lewatnya Oktober tahun ini,” ujarnya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan bahawa kerajaan negeri mahu menjadikan Perak sebagai kawasan pelancongan berkonsepkan geopark antara yang terbesar di negara ini.

Beliau memberitahu kesemua kawasan itu juga nanti akan dipakej dan dibahagian kepada sembilan “laluan” yang boleh dipilih oleh pelancongan atau sesiapa yang berminat.
Dalam pada itu, Mohd Sidi berkata, selepas mendapat status Geopark Kebangsaan, pihaknya akan melakukan penambahbaikan dalam masa dua tahun, bagi membolehkan
Geopark Lembah Kinta mendapat pengiktirafan Geopark UNESCO Global.

No comments:

Post a Comment

Dewan Bandaran Ipoh Gunung Lang Limau Tambun Lukisan Prasejarah Air Terjun Sg. Chelik Gua Kanthan