Pages

Friday, 7 July 2017

USAHA JADIKAN ULU CHEPOR TAPAK GEOPARK

Sesi bergambar bersama ADUN Manjoi Mohammad Ziad

IPOH : Usaha berterusan dan penilaian teliti daripada pihak berwajib diperlukan bagi merealisasikan pengiktirafan kawasan perkampungan dan perkelahan Ulu Chepor sebagai salah satu lokasi Geopark terbaru di negeri ini.


Adun Hulu Kinta


Adun Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata pemilihan Ulu Chepor sebagai lokasi Geopark bakal menjadi penanda aras terhadap peningkatkan sektor pelancongan di kawasan sekitar Kinta amnya.

“Jika penilaiannya positif dan mendapat pengiktirafan, maka ia pasti dapat mengangkat taraf dan tumpuan pelancong serta membantu kerajaan negeri dari segi sektor pelancongan,” katanya ketika ditemui pada majlis kenduri sekampung bersama pemimpin dan penilaian pertama oleh wakil Geopark Kebangsaan di dewan terbuka kawasan perkelahan Ulu Chepor di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi pembincangan dan penilaian, ADUN Manjoi Mohammad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Tambahnya lagi, Ulu Chepor merupakan salah satu lokasi menarik di Perak dan dilihat berpotensi untuk berkembang lebih maju pada masa hadapan.

Beliau turut meminta agar panel penilaian bagi pengiktirafan geopark kebangsaan dapat membuat penilaian sewajarnya dan mempertimbangkan pengiktirafan itu.

Kenduri bersama rakyat disekalikan bersama majlis sambutan hari raya


Sementara itu, panel penilai daripada Geopark Lembah Kinta, Prof.Dr.Che Aziz Ali berkata penilaian sesuatu kawasan melibatkan permohonan daripada pihak penduduk di kawasan tersebut selain penilaian kualiti bahan geologi yang dimiliki kawasan itu.

“Kami ditugaskan hadir dan menilai sama ada sesuatu kawasan itu layak dianggap sebagai Geopark kebangsaan atau tidak dengan mengambil kira penerimaan masyarakat dan kehendak mereka serta persetujuan kerajaan negeri dan mengikut kualiti kriteria geologi kebangsaan,” katanya.

Tambahnya lagi,hasil penilaian pertama akan diserahkan kepada jawatankuasa Geopark kebangsaan di kementerian bagi mendapat perakuan dan pengiktirafan sebagai Geopark kebangsaan.

“Selepas tiga tahun jika penilaian memenuhi kretaria kita akan meminta untuk penilaian taraf global melalui UNESCO di peringkat dunia,” katanya.

Bagi wakil penduduk kampung, Mohd Basri Shafie yang juga merangkap Pengerusi Koperasi Penduduk Ulu Chepor Berhad, permohonan terhadap pengiktirafan sejak tahun 2016 yang lalu diharap memberi peluang kepada penduduk kampung meningkatkan sosio-ekonomi masing-masing.

Tambahnya lagi, pelbagai perancangan diatur bagi membangunkan kawasan perkelahan Ulu Chepor menjadi lokasi menarik untuk dikunjungi.

“Kawasan perkelahan ini lengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti, dewan terbuka, challet, tandas awam dan pondok rehat yang lengkap kepada pengunjung,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Dewan Bandaran Ipoh Gunung Lang Limau Tambun Lukisan Prasejarah Air Terjun Sg. Chelik Gua Kanthan