Pages

Monday, 7 August 2017

KEUNIKAN WARISAN ALAM, BUDAYA


AYOB ALANG menunjukkan ikan tengas yang ditangkap menggunakan bubu

IPOH 6 Ogos - Kampung Pos Raya dekat Simpang Pulai yang merupakan penempatan ma­sya­rakat Orang Asli sejak tahun 1954, adalah sebahagian daripada kawasan Geopark Lembah Kinta.

Perkampungan suku kaum Te­miar itu kini dihuni oleh 500 keluarga yang masih berpe­gang teguh pada warisan alam serta kebudayaan masyarakat pe­ribumi meskipun turut sama menikmati arus pembangunan pada masa kini.

Pokok buluh yang tumbuh merata di pinggir sungai kampung berkenaan, turut menjana ekonomi penduduk apabila mendapat permintaan tinggi khususnya ketika musim perayaan.

Selain itu, masyarakat Orang Asli di sini juga masih menggunakan bubu yang diperbuat daripada rotan untuk menangkap ikan air tawar seperti ikan tengas dan ikan daun di Sungai Raya di sini.

Menurut Tok Batin kampung berkenaan, Ayob Alang, 46, bubu tersebut sebaiknya dipasang pada awal pagi iaitu sekitar pukul 7 pagi dan diambil semula 12 jam selepas itu.

“Bubu yang dipasang perlu diambil pada keesokan hari supaya bau manusia yang terlekat padanya, tidak lagi dihidu oleh ikan-ikan.

“Pada kebiasaannya, bubu di­pasang di celah batu serta ditutup sedikit dengan daun dan diletakkan pada kedudukan me­lawan arus sungai kerana sifat ikan sememangnya begitu,” katanya.

Dari segi kesenian, kumpulan tarian sewang Kampung Pos Raya pula sememangnya cukup terkenal khususnya di Parlimen Gopeng.

Masakan tidak, kampung itu memiliki lagunya tersendiri yang menceritakan tentang rutin seharian penduduknya secara santai serta dipersembahkan sebagai suatu bentuk hiburan kepada pe­lancong yang mengunjungi kawasan penempatan berkenaan.

“Pada kami, budaya warisan itu perlu diteruskan. Sebagai generasi ketiga, kami misalnya meneruskan penghasilan baju kulit kayu yang hanya unik di kampung ini.

“Malahan, kami melakukan penambahbaikan dengan membubuh manik-manik supaya ia nampak lebih menarik selain pemakaiannya dipadankan dengan sanggul bunga mengikut kesesuaian tema sesuatu program,” kata Ayob.

SUMBER

No comments:

Post a Comment

Dewan Bandaran Ipoh Gunung Lang Limau Tambun Lukisan Prasejarah Air Terjun Sg. Chelik Gua Kanthan