Pages

Wednesday, 2 August 2017

SASAR PENGIKTIRAFAN UNESCO

Pengarah JMG Malaysia,Perak bergambar bersama-sama kakitangan JMG Malaysia, Perak


SIMPANG PULAI – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Perak menyasarkan Geopark Lembah Kinta yang diilhamkan sejak 2012, menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dalam tempoh dua tahun lagi.

Pengarahnya, Mohd Sidi Daud berkata, melalui mesyuarat bersama jawatankuasa Geopark Kebangsaan, 18 Julai lalu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengangkat Geopark Lembah Kinta sebagai satu daripada Geopark Kebangsaan.

Menurutnya, perakuan itu membolehkan jabatan meneruskan gerak kerja dalam usaha menambah baik setiap produk geopark yang dikenal pasti dalam tempoh dua tahun ini.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Julai lalu, bersetuju untuk memperakukan Geopark Lembah Kinta ke peringkat kebangsaan, pemasyhuran ini akan dilakukan menteri besar pada penghujung tahun ini juga.

“Selepas itu, kita akan teruskan usaha antaranya melalui program kesedaran dalam kalangan komuniti bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara lestari bagi mengekalkan produk sedia ada,”  katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan ke Perkampungan Orang Asli Pos Raya di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, semalam.

Kampung Pos Raya yang didiami hampir 500 keluarga dipilih satu daripada produk Geopark Lembah Kinta atas kepelbagaian budaya.

Mohd Sidi berkata, Geopark Lembah Kinta yang menerima peruntukan kerajaan negeri RM5 juta merangkumi kawasan seluas 1,558 kilometer persegi melibatkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Kampar, Batu Gajah dan Ipoh.

Katanya, di kawasan terbabit terdapat 24 tapak geo dikenal pasti memenuhi keperluan industri pelancongan.

“Seperti keistimewaan Kampung Pos Raya ini, selain persekitarannya yang hampir dengan hutan dan sungai, penduduk juga terkenal dengan kebolehan menghasilkan baju daripada kulit kayu pokok terap,” katanya.

Katanya, usaha mempromosikan tapak geo ini dilakukan secara berterusan.

“Kita perkenalkan sembilan laluan (geotrail) untuk tujuan lawatan ke tapak ini, pihak ejen akan susun pakej mengikut permintaan pelancong,”  katanya.







No comments:

Post a Comment

Dewan Bandaran Ipoh Gunung Lang Limau Tambun Lukisan Prasejarah Air Terjun Sg. Chelik Gua Kanthan