Pages


GEOLOGI LEMBAH KINTA


Tasik Cermin, Gunung Rapat, Ipoh
Kawasan Lembah Kinta merupakan satu dataran rendah yang terbentuk oleh batu kapur dan sebahagian kecil batuan syis. Hampir 80 peratus daripada kawasan Lembah Kinta didasari oleh lapisan batu kapur dengan sebahagiannya muncul dipermukaan membentuk bukit atau gunung yang berdinding tegak yang dikenali sebagai topografi kars. Lembah Kinta juga diapit dengan 2 banjaran batuan berkomposisi granit iaitu Banjaran Kledang di sebelah barat dan Banjaran Titiwangsa di sebelah timur.

Secara umumnya, Lembah Kinta terdiri daripada batuan granit dan batuan metasedimen dari Siri Berkapur dengan merujuk kepada peta Lembah Kinta oleh Ingham dan Bradford (1960). Batuan metasedimen dari Siri Berkapur membentuk lapisan dasar Lembah Kinta dan terdiri daripada dua fasies iaitu Fasies Berkapur dan Fasies Berargilit. Batuan kapur merupakan batuan dominan yang membentuk Fasies Berkapur. Fasies Argilit pula terdiri daripada batu syal, filit dan kuarzit berselang seli dengan fasies berkapur (Ingham dan Bradford, 1960). Menurut (Ingham dan Bradford 1960), pada tahun 1956 dan 1959 graptolit telah dijumpai di Kanthan dan Chemor yang berusia Ordivisi tengah hingga Silur. Suntharalingam (1966) pula telah menemui fosil yang berusia Devon Bawah hingga Perm Tengah di Kampar. Berdasarkan penemuan fosil yang terhad ini, Ingham dan Bradford (1960) telah memberikan usia Karbon Bawah kepada batuan dasar Lembah Kinta.

Panorama dari Gunung Kledang Banjaran 

Batuan granit di Lembah Kinta dibentuk oleh dua banjaran granitoid iaitu Banjaran Kledang (3,469 kaki) di sebelah barat dan Banjaran Titiwangsa (7175 kaki) di sebelah timur. Ingham dan Bradford (1960) pula telah memberikan usia Trias manakala Hutchison (1973) melaporkan bahawa granit di Lembah Kinta mempunyai julat usia antara Trias Tengah hingga Jura Akhir. Di Lembah Kinta endapan aluvium merupakan endapan terpenting kerana ia adalah sumber utama penghasilan bijih timah. Enapan aluvium ini terbahagi kepada Aluvium Tua berusia Pleistosen dan Aluvium Muda yang berusia Resen didapati secara tidak selaras di atas batuan syis dan marmar.


No comments:

Post a Comment

Dewan Bandaran Ipoh Gunung Lang Limau Tambun Lukisan Prasejarah Air Terjun Sg. Chelik Gua Kanthan